Beri Sekali terima banyak kali dengan E-Jariah.Net!!Klik disini untuk memulakannya!!

Isnin, 19 April 2010

PRK Hulu Selangor

Pilihan raya kecil Hulu Selangor dijangka ‘curi tumpuan’

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 26 Mac — Spekulasi pilihan raya kecil membabitkan kerusi Parlimen Hulu Selangor sebenarnya sudah lama kedengaran, sejak pertengahan tahun lalu.

Oleh itu parti-parti utama dijangka memberikan perhatian khusus ke atas kerusi tersebut jika pilihan raya kecil diadakan, kemungkinan akhir April atau awal Mei.

“Pilihan raya kecil ini memang sesuatu yang sangat menarik untuk diperhatikan... khususnya dalam situasi semasa,” kata Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimennya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad (gambar) dari PKR meninggal dunia semalam akibat barah otak.

Parti-parti politik belum bersedia untuk bercakap mengenai pilihan raya kecil yang ke-10 ini sejak selepas 8 Mac 2008 tetapi berdasarkan spekulasi sebelum ini nampaknya mereka sudah bersedia.

Misalnya Umno melancarkan program Juara Rakyatnya di kawasan Hulu Selangor dan beberapa minggu selepas itu Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim pula turun padang dalam ceramah perdananya.

Pilihan raya kecil ini jika diadakan ia akan membabitkan kerusi Parlimen keempat.

Bahagian Parlimen yang menyaksikan pilihan raya kecil sebelum ini ialah Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang.

Ketiga-tiganya dimenangi Pakatan Rakyat.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan (SPR) Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata pilihan raya kecil bagi kerusi Hulu Selangor perlu diadakan sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang.

“Tempoh untuk mengadakan pilihan raya kecil masih ada... jadi ini melibatkan pilihan raya kecil yang ke-10,” kata beliau.

“Bagaimanapun ia hanya akan ditentukan selepas menerima surat daripada Speaker Dewan Rakyat,” katanya lagi.

Zainal memenangi kawasan Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum Mac 2008 di atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Selangor ketika dalam Umno.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999, Zainal pernah menjawat jawatan exco negeri, antaranya Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penyelidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Perjawatan, Pendidikan dan Sumber Manusia.

Zainal adalah seorang ahli akademik sebelum menceburi dunia politik sepenuh masa.

Pada pilihan raya umum ke-11 pada 2004, Zainal digugurkan daripada menjadi calon oleh Umno-BN.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Zainal membuat kejutan dengan merampas kerusi selamat BN di Hulu Selangor daripada penyandang Datuk G. Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC, dengan majoriti tipis 198 undi.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau kehilangan seorang rakan seperjuangan yang sanggup mengambil risiko bersama-sama PKR dalam keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

“PKR bersedih atas kehilangan ahli akademik ini dan takziah kepada keluarga,” kata beliau dipetik Bernama selepas mengunjungi rumah allayarham.

Jenazah dijangka disembahyangkan di Masjid Batu 10, Cheras, di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, Batu 9, Cheras, kira-kira pukul 11 pagi ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan