Beri Sekali terima banyak kali dengan E-Jariah.Net!!Klik disini untuk memulakannya!!

Selasa, 20 April 2010

SPR Larang pondok panas



HULU SELANGOR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi menegaskan parti-parti politik dilarang mengadakan pondok panas untuk memancing undi, yang didirikan di luar semua pusat pengundian, pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pondok panas itu sepatutnya tidak perlu diadakan memandangkan SPR sendiri menyediakan barungnya untuk kemudahan pengundi menyemak nombor siri, pusat dan saluran mengundi di kawasan 50 meter daripada pusat mengundi yang ditetapkan.

"Kami sediakan barung untuk membantu pengundi membuat semakan dan kakitangan untuk menunjukkan saluran. Jadi, semasa hari pengundian kita tidak membenarkan pondok panas didirikan dan saya harap semua calon politik memberikan kerjasama dari mengelakkan perkara ini berlaku," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Wan Ahmad berkata, SPR sebelum ini telah mengeluarkan arahan tidak membenarkan pondok panas didirikan di kawasan 50 meter dari pusat mengundi kerana ia sering dijadikan tempat parti politik berkempen pada hari pengundian.

Katanya, berkempen pada hari berkenaan memang menjadi satu kesalahan menurut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mengenai pusat penamaan calon yang akan diadakan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu, beliau berpuas hati dengan keadaan dan persekitaran dewan itu.

Sehubungan itu, pihaknya akan mengeluarkan sebanyak 100 pas kebenaran kepada setiap parti untuk membawa penyokong dan mengiringi calon pada hari penamaan calon Sabtu ini.

"Kita mempunyai pengalaman yang banyak menghadapi beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, pada kali ini menyediakan pas dan menyerahkan kepada parti untuk membawa penyokong mereka dan kawasan larangan 50 meter dari pusat penamaan calon dilarang masuk," katanya.

Beliau berharap pilihan raya kecil itu dapat dijalankan dalam keadaan yang aman, berdisiplin dan semua pihak mematuhi arahan dan undang-undang.

Katanya, Pasukan Pemantau Kempen Pilihan Raya SPR dan polis akan memantau setiap proses pilihan raya kecil itu bagi memastikan ia lancar termasuk tidak membenarkan bendera parti yang tidak bertanding digantung.

"Parti politik tidak bertanding tidak berhak menggantung bendera mereka termasuk simbol atau logo yang tidak berdaftar dengan SPR dan ia tidak diiktiraf sebagai sebuah parti," katanya.

Sementara itu, SPR tidak melantik mana-mana badan pemerhati termasuk Badan Pemantau Pilihan Raya (Mafrel) berikutan badan itu tidak mematuhi 15 syarat yang ditetapkan sejak dilantik pada 2008 dan sekiranya terdapat pihak yang memantau pilihan raya itu, ia tidak diiktiraf oleh SPR.

Beliau berkata, antara kesalahan besar yang tidak dipatuhi Mafrel ialah tidak menghantar laporan mengenai pilihan raya yang diadakan, tidak menghadiri mesyuarat bersama SPR dan membuat kenyataan terbuka kepada media.

"Kita tidak perlu badan pemantau dalam sistem pengundian negara ini kerana sejak dahulu lagi tidak melantik mana-mana badan pemantau, sebaliknya ejen calon yang berada di pusat pengundian boleh memantau sepanjang proses pengundian berjalan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPR bersedia menghadapi pencalonan yang ramai seperti di Bukit Selambau apabila 15 calon bertanding memandangkan sehingga petang ini sebanyak 15 borang pencalonan diagihkan kepada wakil calon yang berhasrat bertanding dalam pilihan raya kecil itu. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan